Bermula dengan Surah Ibrahim Ayat 7
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukurnescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
Selain dari menyelongkar isi Kitab Suci Al-Quran saya juga merujuk pada blog
tertentu dan buku tulisan seorang ustaz. Berikut adalah sebahagian
daripadanya amalan-amalan menjemput rezeki seperti yang dianjurkan
Al-Quran dan Sunnah:-
1. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku
amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi
balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
2. Utamakan beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam,
sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan
menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi
tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat
Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
3. Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah
rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi
sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan
melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa
memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala
kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari
arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
4.Meninggalkan perbuatan atau amalan yang berdosa
Istighfar tidak
laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati
resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
5. Sentiasa mengingati Allah
Banyak ingat
Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang
hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Ar-Ra’d: 28)
6. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis
riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin
panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu
bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti
kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan
memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan
al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba
itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah
rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
7. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik
kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan
orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan
anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
8. Menunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
9. Memperbanyakkan Selawat
Ada hadis yang
menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana
selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran
serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
Wallahu a’lam.
10. Buat kebajikan sebanyak mungkin
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan
jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula
boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit
rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
11. Memulakan aktiviti harian seawal pagi
Menurut
Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik
selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
12. Menjalin dan menghubungkan silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa
ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia
menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
13. Sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk
Seorang Arab desa
menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara
termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah
berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan
rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
14. Bersedekah dan infaq ke jalan Allah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair,
ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim
oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka
siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah
membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah
menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
15. Mengamalkan solat tahajud
Ada keterangan
bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab
seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan
Allah .
16. Mengamalkan solat sunat Dhuha
Amalan
solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia
(aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam
hadis qudsi:
“Wahai
anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat
pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan
keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari
ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan
dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu,
terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman
dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua
ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara
konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi
sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama
Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab
dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah
ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa:
“Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat
dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa
amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa
kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan
seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada
rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta
kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha,
dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa
Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak
dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya
saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang
beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa
kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam
rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan
halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal kepada Allah
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu
bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu
diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu
Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua
yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di
hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Secara ringkasnya
untuk menjemput rezeki ialah dengan bertaqwa kepada Allah. Yakni
melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang. Jom kita amalkan supaya kita hampir dengan ALLAH dan mudah rezeki datang.
No comments:
Post a Comment